Saturday, October 20, 2012

Air Penting Untuk Kesihatan

Kajian para saintis mendapati amalan minum air sebaik bangun dari tidur setiap pagi mempunyai banyak manfaat. Kepentingan air sama seperti oksigen. Ia merupakan elemen penting dalam kehidupan sesorang manusia. Ramai dikalangan kita hanya minum air setelah merasa dahaga. Kita sering mendengar saranan pakar perubatan dan pemakanan untuk minum air sekurang-kurangnya 2 liter.

Air membentuk 55%-57% berat badan dan memainkan peranan yang sangat penting dalam setiap fungsi utama badan. Pengambilan air dalam jumlah yang mencukupi sangat baik agar tubuh badan anda menjalankan fungsinya dengan sempurna. Ia mustahak untuk melarutkan sisa metabolisma seperti asid urik dan urea yang diangkut oleh darah ke buah pinggang. Kekurangan air akan memaksa buah pinggang bekerja dengan lebih keras untuk menapis bahan toksik dan lama kelamaan boleh menyebabkannya rosak.

Air juga menjadi bahan utama untuk aktiviti enzim dan kawalan suhu badan serta membolehkan darah menghantar oksigen dan nutrien kepada sel diseluruh badan. Kekurangan air boleh menjejaskan semua proses ini dan khasiat makanan tidak dapat diagihkan dengan baik ke seluruh sistem tubuh.

Sekiranya air yang terkandung dalam tubuh anda bersih, sel tubuh tentu menjadi lebih segar dan kuat. Kesan daripada air yang bersih boleh merangsang sistem pertahanan badan dan mengurangkan risiko sel menjadi tidak normal, mencegah bahan toksik daripada merebak ke sel lain dan merendahkan risiko menghidap jangkitan tertentu. Kekurangan air adalah punca utama keletihan pada waktu siang yang boleh menyebabkan penafasan menjadi pendek, sakit perut, kebas dan risau tanpa munasabah.

Pakar pemakanan sering menyarankan agar minum setiap kali sebelum makan. Air akan membuatkan anda cepat kenyang. Ia dapat mengelakkan anda daripada makan dalam jumlah yang banyak. Air yang diambil perlulah air kosong dan bukannya minuman manis. 

No comments:

Post a Comment