Ayat Kursi terdapat di dalam Al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 255:
A. Kebesaran Ayat Kursi
Ayat ini diturunkan setelah hijrah. Semasa penurunannya ia telah diiringin oleh beribu-ribu malaikat kerana kebesaran dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka. Rasulullah S.A.W dengan segera memerintahkan Zaid Bin Tsabit menulis serta menyebarkannya. Antara kebesaran Ayat Kursi adalah sebagai berikut:
1) Sesiapa yang membaca Ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas solat fardu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, insyallah akan terpeliharalah dirinya daripada godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah S.W.T.
2) Mengikut keterangan daripada Kitab Asraarul Mufidah, sesiapa mengamalkan membaca Ayat Kursi setiap hari sebanyak 18 kali maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara dirinya daripada segala bencana dengan izin Allah S.W.T.
3) Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, sesiapa yang membaca Ayat Kursi sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, insyallah Allah S.W.T akan mencerdaskan akal fikirannya serta memudahkan menerima ilmu pengetahuan.
4) Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud: "Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca Ayat Kursi, Allah hilangkan kefakiran di depan matanya".
5) Sabda baginda lagi: " Umatku yang membaca Ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan bersolat sunat dua rakaat, Allah S.W.T memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan".
6) Orang yang selalu membaca Ayat Kursi, akan dicintai dan dipelihara oleh Allah S.W.T sebagaimana Allah S.W.T memelihara Nabi Muhammad S.A.W.
7) Mereka yang beramal dengan bacaan Ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah S.W.T daripada gangguan serta hasutan syaitan.
8) Pegamal Ayat Kursi juga, dengan izin Allah S.W.T akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah.
9) Mengamalkan bacaan Ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanan.
10) Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh kusyuk, insyallah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar.
11) Jika anda berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca Ayat Kursi 100 kali, insyallah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan zahir dan batin.
12) Barang siapa membaca Ayat Kursi apabila berbaring ditempat tidurnya, Allah mewakilkan dua orang malaikat memeliharanya hingga subuh.
13) Barang siapa membaca Ayat Kursi di akhir setiap solat fardu, ia akan berada di dalam lingkungan Allah S.W.T hingga solat yang lain.
14) Barang siapa membaca Ayat Kursi di akhir setiap solat, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah S.W.T akan memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah disekitarnya.
15) Barang siapa membaca Ayat Kursi di akhir setiap solat fardu, Allah S.W.T menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur, perbuatan-perbuatan orang yang benar, pahala nabi-nabi, juga Allah S.W.T melimpahkan padanya rahmat.
16) Barang siapa membaca Ayat Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.
B. Kelebihan Ayat Kursi
Daripada Anas Bin Malik RA berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:"Apabila seseorang daripada umatku membaca Ayat Kursi 12 kali, kemudian dia berwuduk dan mengerjakan solat subuh, nescaya Allah S.W.T akan menjaganya daripada kejahatan syaitan dan darjatnya sama dengan orang yang membaca seluruh Al-Quran sebanyak tiga kali, dan pada hari kiamat ia akan diberi mahkota daripada cahaya yang menyinari semua penghuni dunia."
Berkata Anas Bin Malik: "Wahai Rasulullah, apakah perlu dibaca setiap hari?" Sabda Rasulullah S.A.W: " Tidak, cukuplah membacanya pada setiap hari Jumaat (Ayat Kursi)."
Umat-umat dahulu hanya sedikit sahaja yang mempercayai rasul-rasul mereka dan itu pun apabila mereka melihat mukjizat secara langsung. Kita sebagai umat Islam tidak boleh ragu-ragu tentang apa yang diterangkan oleh Allah S.W.T dan Rasul. Janganlah kita ragu-ragu tentang Al-Quran, hadis dan sunnah Rasul kita. Janganlah kita menjadi seperti umat yang terdahulu yang mana mereka lebih suka banyak bertanya dan hendak melihat bukti-bukti terlebih dahulu sebelum mereka beriman.
Setiap satu yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W kepada kita adalah untuk kebaikan kita sendiri. Rasulullah S.A.W menyuruh kita mengamalkan dan membaca Ayat Kursi. Kehebatan ayat ini telah diterangkan dalam banyak hadis. Kehebatan Ayat Kursi ini adalah untuk kita juga, yakni untuk menagkis gangguan syaitan dan kuncu-kuncunya di samping itu kita diberikan pahala.
Begitu juga dengan Surah Al-Falaq, Surah Yasin dan banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang mempunyai keistimewaannya. Setiap isi Al-Quran itu mempunyai kelebihan yang tersendiri. Oleh itu, kita umat Islam, janganlah ada sedikit pun keraguan tentang ayat-ayat Al-Quran, hadis Nabi dan Sunnah Baginda S.A.W. Keraguan dan was-was itu datangnya daripada syaitan.
No comments:
Post a Comment